Pages

nuffnang x

Saturday, May 29, 2010

Three cups of tea (salah satu cara keamanan melalui buku)


Terbaca entri ini di wall FB Prof Emeritus Abdullah Hassan dan terus tertarik dengan cerita Three cup of tea (tp bila la ader kesempatan nak baca yer)

Prof wrote:

Three Cups of Tea: One Man’s Mission to Promote Peace . . . One School at a Time, Greg Mortenson, dan wartawan David Oliver Relin, menceritakan kembali kembara yang membawa Mortenson daripada kegagalan mendaki K2 di Pakistan, iaitu puncak kedua tertinggi di atas bumi ini pada tahun 1993, kepada sebuah usaha murni.

Kegagalan itu membawa beliau ke suatu pengalaman lain, iaitu membina sekolah untuk daerah yang paling terencil di Afghanistan dan Pakistan. Mortenson menggantikan bedil dengan pena, pidato kosong dengan pesantren. Beliau menggunakan pengetahuannya yang sangat mesra dengan dunia ketiga bagi membangunkan keamanan melalui buku, bukannya bom. Inilah yang membawa kebahagiaan kepada beberapa kelompk masyarakat terpencil di Asia Tengah.

Buku Three Cups of Tea ini adalah sebuah buku advancer yang payah dilupakan, sekaligus menceritakan sebuah kisah benar yang mendorong, bagaimana usaha satu orang dapat mengubah dunia, dengan membina sekolah ... sebuah demi sebuah.
Cerita ini bermula pada tahun 1993. Mortenson gagal mendaki puncak K2. Dalam perjalanan menuruni gunung itu beliau terpisah daripada kumpulannya. Beliau merayau-rayau hingga sampai ke daerah paling terpencil di Pakistan utara.

Dalam keadaan lesu dan tidak keruan, lapar dan keseorangan beliau tiba di sebuah kampung yag sangat daif dan serba kurang. Namun orang kampung itu menerima dan merawat beliau sehingga sihat kembali.
Semasa berihat menanti betah, beliau perasan ada 84 orang kanak-kanak di kampung itu. Mereka belajar dengan menggores-gores tulisan pelajarannya di atas tanah dengan kayu. Rupa-rupanya begitulah mereka belajar. Kampung itu miskin, tidak pun mampu membayar RM5.00 sehari untuk gaji seorang guru.

Apabila betah, beliau meninggalkan kampung itu. Namun, secara spontan beliau berjanji akan kembali semula bagi membina sekolah untuk mereka. Dari sebuah janji dari lubuk hatinya itu, tersuratlah sebuah kempen kemanusiaan yang luar biasa pada zaman ini.

Pada mulanya beliau cuba berusaha mengumpulkan dana dengan menulis 580 pucuk surat kepada selebriti, ahli perniagaan dan orang kenamaan di Amerika. Beliau hanya menerima sekeping cek bernilai USD$100 daripada wartwan NBC Tom Brokaw. Beliau tidak mengalah. Beliau menjual apa saja yang dipunyainya, dan dapat megumpulkan USD$2,400. Usahanya mula mendapat perhatian apabila sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di River Falls, Wisconsin, menyumbangkan USD $623.40 dalam bentuk duit syiling dari tabung masing-masing.
Inilah yang mendorong orang dewasa turut membantu.

Hasilnya: Jambatan Braldu sepanjang 283 kaki ini siap dibina pada tahun 1995, dan Sekolah Korphe School ini dibina pada tahun 1996.

Jambatan Braldu

Sekolah Korphe. Semenjak itu beliau sudah membina 78 buah sekolah.

Dalam usahanya memperhambakan dirinya untuk masyarakat ini, Mortenson pernah diculik oleh sekumpulan gerombolan bersenjata, beliau juga terlepas daripada fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama setempat, terselamat daripada beberapa ancaman terhadap nyawanya sendiri, dan yang paling menyayat hatinya ... hidup yang terpisah daripada isteri yang anak-anaknya. Namun, ini dilakukannya demi kemanusiaan.


Apa ada dengan ungkapan Tiga Cawan Teh? Ungkapan ini datang daripada sekelompok masyarakat yang dikenali sebagai orang Baltiyul. Mereka berasal dari Tibet, dan tinggal di gunung-gunung Pakistan utara. Maksudnya, kali pertama kita dihidangkan teh, kita adalah perantau yang belum dikenali, kali kedua kita menjadi tetamu penting, dan kali ketiga kita sudah menjadi sebahagian daripada keluarga.
Itulah erti pengorbanan berkhidmat untuk orang lain, orang yang mungkin tidak kita kenali.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails